Belajarlah Untuk Disakiti

Inilah yang dinamakan konflik.
Konflik berlaku di kalangan manusia-manusia yang saling bergaul antara satu dengan yang lain. Puncanya -wallahu'alam- terlalu banyak. Bermula dengan perasaan tidak puas hati dengan seseorang, perasaan marah mula dipendam, sehinggalah suatu masa nanti ia terlepas melahirkan kata-kata penuh emosi yang tajam menusuk kalbu dan menyakiti fizikalnya. Hanya untuk memuaskan hatinya.
Perasaan benci, marah adalah sifat negatif yang tidak dapat dielakkan oleh setiap insan. Setiap dari kita pernah merasainya. Sekiranya seseorang marah, kita akan dapat rasakan walaupun ia cuba sedaya upaya menyorokkan isi hatinya. Kadang-kadang sehingga dapat kita rasakan 'aura'nya apabila berada dekat dengannya. Perasaan marah banyak membawa keburukan walaupun dalam aspek yang lain ia mempunyai kebaikan. Ia membuatkan hati tidak tenang, jiwa resah gelisah.
Semua sifat-sifat ini adalah barah dalam perhubungan jangka masa panjang.
Berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan konflik, serta mendengar masalah orang lain - satu perkara yang telah saya pelajari, kita harus belajar untuk disakiti. Formula ini merupakan kaedah untuk kita mengelakkan konflik yang akan membawa pertengkaran, dan juga ramuan terbaik untuk kita mengekalkan sesuatu perhubungan.
Belajar untuk disakiti bermakna, kita berhenti daripada menyalahkan orang lain, dan melihat dari dalam diri sendiri, "Mengapa aku harus marah? Mengapa aku tidak dapat menerima kekurangan dirinya?" Dalam kita bergaul sesama manusia, kita harus bersedia menerima kekurangan orang lain. Dan dalam masa yang sama, cuba menegur kesalahan seseorang.
Untuk mengubah diri sendiri adalah lebih mudah daripada kita mengubah diri orang lain. Oleh itu, belajarlah untuk disakiti. Kerana hakikatnya manusia itu tidak pernah sempurna. Sekiranya kita seorang yang tersusun, pembersih dan berdisiplin, kita harus terima hakikat bahawa bukan semua manusia seperti kita. Oleh itu, daripada kita memarahi orang lain kerana 'kurang bersih', lebih baik kita cuba menerima kelemahannya dan dalam masa yang sama cuba memperbaiki sifat negatif itu.
Belajar untuk disakiti adalah jalan keluar kepada konflik dalam perhubungan sahabat dengan sahabat, adik dengan abang, ibu bapa dengan anak-anak, dan suami dan isteri. Jangan terlalu cepat sangat melenting, nanti orang akan terasa. Lebih baik diam, bertenang dan berbincang dengan baik. Ada orang berkata, "aku ni jenis yang terus-terang." Tapi ingat kawan, berterus terang tidak bermakna kita harus menyakiti hati manusia sekeliling kita. Ataupun tidak mengawal kata-kata kita.
Belajarlah untuk disakiti, kerana mungkin kita sentiasa menyakiti hati manusia sekeliling tanpa kita sedari...
Comments