Hak Wanita Dalam Memilih Suami
hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam yang
bermaksud:
“Janda lebih berhak ke atas
dirinya daripada walinya, manakala anak dara diminta izin daripadanya. Dan
keizinannya ialah diamnya.”
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Menurut pendapat ini, wali yang boleh menikahkan
seseorang gadis tanpa izinnya adalah ayah kandung kepada gadis itu atau
penerima wasiatnya (wasi). Selain mereka berdua adalah tidak harus, hatta datuk
atau bapa saudaranya. Dan disunatkan bagi wali meminta izin daripada anak gadis
yang ingin dinikahkan sejajar dengan saranan Nabi sallallahu alaihi wasallam
dalam hadis di atas. Di samping itu, disunatkan juga meminta pandangan ibu
gadis tersebut kerana rapatnya hubungan antara ibu dengan anak perempuannya,
dan ibu juga sama dengan ayah dari segi memikirkan jodoh serta kebahagiaan
rumah tangga anaknya. Dengan cara itu, hak ibu tidak diketepikan dan hatinya
akan lebih bahagia. Ibn Umar berkata bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam
bersabda (maksudnya):
“Mintalah pandangan kaum wanita
tentang anak-anak perempuan mereka.”
(Riwayat Abu Daud)
Sekiranya gadis tersebut
sudah mempunyai pilihan sendiri yang sekufu dengannya, maka pilihannya
diutamakan. Imam Ahmad berkata, pernikahan adalah hak peribadinya yang khusus.
Maka wali atau wasi (penerima wasiat) tidak wajar memaksa gadis berkahwin
dengan lelaki yang tidak disukainya. Sekiranya wali enggan menikahkan anaknya
yang berusia sembilan tahun (yang sudah baligh dan berakal) atau lebih dengan
lelaki pilihannya, maka wali dianggap ‘adhil (ingkar)
dan gugur haknya sebagai wali. Jika berlaku berulang kali, maka dia menjadi
fasiq.
Kedua: Mazhab Maliki
Seorang ayah yang siuman
dan matang harus menikahkan anak gadisnya yang baligh dan berakal walaupun
dengan mahar yang kurang daripada yang sepatututnya atau yang sepadan
dengannya. Contohnya, jika mahar yang sepadan dengannya (mahar mithil) adalah satu pikul emas, tetapi wali
menikahkannya dengan mahar satu suku dinar, ia tetap sah.
Wali harus menikahkan anaknya dengan lelaki yang
lebih rendah tarafnya atau yang buruk rupanya atau lelaki yang tidak
disukainya, sama ada anaknya memberi izin atau tidak selama mana anaknya itu
masih dara walaupun usianya sudah lanjut dan telah menjangkau 60 tahun. Namun
begitu sekiranya anak dara itu seorang yang dilihat matang oleh wali dan dia
memberinya kebebasan untuk memilih, maka dalam keadaan ini wali tidak harus
memaksanya. Wali tidak harus menikahkannya tanpa keizinan yang jelas daripada
anaknya.
Perlu disebutkan bahawa keharusan memaksa hanya
ketika pada kebiasaannya tidak timbul mudarat yang ketara dengan sebab
perkahwinan itu. Sekiranya perkahwinan itu boleh membawa mudarat seperti
dikahwinkan dengan lelaki yang cacat, gila, mati pucuk dan seumpamanya, maka
tiada hak bagi wali memaksa anaknya.
Hak untuk memaksa ini hanya khusus bagi ayah dan
wasi sahaja, dan tidak harus bagi selain kedua-duanya.
Ketiga: Mazhab Hanafi
Wali, sama ada ayah atau selainnya tidak berhak
langsung menikahkan seorang gadis yang telah baligh dan berakal kerana gadis
itu telah menjadi seorang mukallaf yang bertanggungjawab penuh ke atas dirinya
dalam melaksanakan tuntutan hukum syarak. Dia berhak mengendalikan sendiri
urusan peribadinya. Tiada seorang pun yang boleh menguasainya dan memaksanya.
Dia juga boleh menikahkan dirinya sendiri tanpa perlu mendapat keizinan walinya
atau menyerahkan kepada wali melaksanakan akad nikah bagi pihak dirinya. Dia
harus mengakad nikah dirinya sendiri, tidak kira sama ada lelaki itu sekufu
dengannya atau tidak, dan dengan mahar yang sepadan atau tidak. Dia berhak
sepenuhnya mengendalikan urusan dirinya. Tiada seorang pun yang berhak
menghalangnya. Antara nas yang menjadi dalil mazhab Hanafi ialah peristiwa yang
diceritakan oleh Ibn Abbas radiallahuanhu bahawa seorang gadis menemui
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyatakan bahawa ayahnya telah
menikahkannya sedangkan dia tidak suka. Maka baginda memberinya hak untuk
memilih sama ada ingin memfasakh pernikahan itu atau tidak.
Comments