Biarkan Cinta Berkata Tidak
Kerap
diungkapkan, cinta itu buta?Apakah benar cinta itu buta? Apakah cinta orang
beriman juga buta? Kalau buta yang dimaksudkan itu tidak mampu lagi melihat
mana yang hak, yang mana batil, tentulah cinta orang yang beriman tidak buta.
Tidak!
Cinta yang suci tidak buta. Orang beriman tetap celik walaupun sedang dilamun
bercinta. Mereka masih tahu dan mampu melihat serta menilai yang mana baik,
yang mana buruk, yang mana halal, yang mana haram sewaktu bercinta.
Namun
sekiranya buta yang dimaksudkan tidak nampak lagi segala kesusahan demi
mendekatkan diri kepada yang dicintainya (Allah)… ya, cinta orang beriman
memang buta. Orang yang beriman tidak nampak lagi ranjau duri untuk mendekatkan
diri kepada Ilahi.
Pernah
Sayidina Abu Bakar ra pernah berkata kepada anaknya, “jika aku menemui mu dalam
perang Badar dahulu, aku sedikit pun tidak teragak-agak untuk membunuh mu!”
Mus’ab bin Umair pula pernah berkata kepada ibunya, “jika ibu punya 100 nyawa
dan nyawa itu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan agama yang
dibawa oleh Nabi Muhammad.”
Ya,
cinta orang beriman itu buta. Tetapi bukan buta melulu. Yang buta melulu
hanyalah cinta orang yang lemah iman. Cinta itu telah dikotori oleh kehendak
nafsu dan bujukan syaitan. Apa sahaja yang disuruh oleh nafsu dan dihasut oleh
syaitan akan diikuti. Cinta buta oleh orang yang buta mata hatinya sanggup
mengorbankan maruah, harga diri malah membunuh demi cintanya. Memang benar kata
pepatah Arab, seseorang itu menjadi hamba kepada “apa” atau “siapa” yang
dicintainya.
Kalau
sudah cinta, kita jadi “buta” terhadap penderitaan, kesusahan dan segala
keperitan demi menyukakan hati orang yang kita cintai. Oleh itu bertuah sekali
jika orang atau apa yang kita cintai itu adalah orang yang baik atau sesuatu
yang baik, maka kita akan menjadi hamba kepada orang yang baik dan kebaikan.
Sebaliknya,
jika yang kita cintai adalah kejahatan atau orang yang jahat… kita akan
diperhambai sentiasa kepada kejahatan. Firaun mati lemas kerana diperhamba
kuasa. Manakala Qarun ditelan bumi akibat diperhamba harta. Dan berapa ramai
negarawan, hartawan dan bangsawan yang kecundang kerana cintakan wanita? Orang
mukmin itu sangat cinta kepada Allah. Firman Allah: “Orang mukmin itu sangat
bersangatan cintanya kepada Allah.” Al Baqarah 165.
Justeru,
cinta orang mukmin itu “buta” kepada sebarang kesusahan demi menunaikan
perintah Allah. Orang mukmin rela mengorbankan segala kesukaan atau kesenangan
dirinya apabila semua itu melanggar perintah Allah. Tidak ada istilah tidak
apabila berdepan dengan perintah Allah. Mereka akan berpegang kepada prinsip
“kami dengar, kami taat” setiap kali mereka mendengar ayat-ayat cinta (Al
Quran) yang datang daripada Allah.
Apabila
berdepan dengan cinta Allah, segala cinta yang lain akan menjadi kecil dan
terpinggir. Bayangkan kecintaan Rasulullah saw terhadap bapa saudaranya Abu
Talib – orang yang membela dan melindunginya semasa susah dan senang. Bukan
sahaja tubuh badan Rasulullah saw dipertahankan oleh Abu Talib tetapi beliau
juga telah memberi kasih-sayang, perhatian, simpati dan empati yang tidak
berbelah bagi kepada Nabi Muhammad saw.
Ya,
Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Talib saling cinta mencintai. Bayangkan hingga ke
saat-saat kematian Abu Talib, nabi Muhammad saw terus berdakwah, merayu dan
membujuk agar bapa saudaranya itu beriman. Tetapi Subhanallah! Allah Maha Tahu
dan Maha Berkuasa terhadap petunjuk dan hati para hamba-Nya. Hidayah milik
Allah. Dan hidayah itu tidak diberikan-Nya kepada Abu Talib atas sebab-sebab
yang hanya DIA yang mengetahuinya. Lalu matilah Abu Talib dalam keadaan tidak
beriman…
Betapa
sedihnya hati Rasulullah saw tidak dapat digambarkan lagi oleh kata-kata. Dan
pada hari kematian Abu Talib, bersimpuhlah baginda dalam doa demi keselamatan
ayah saudaranya yang telah pergi. Namun apa jawapan Allah? Allah menegur dan
melarang baginda daripada berdoa untuk keselamatan Abu Talib. Kerana apa?
Kerana Abu Talib tidak beriman. Walaupun Allah Maha mengetahui betapa cintanya
Rasulullah saw… tetapi Allah mendidik hati seorang Nabi agar berkata tidak
walaupun ketika hati terlalu cinta!
Begitulah
jua jalur cinta yang luar biasa oleh insan-insan luar biasa sebelum diutuskan
Nabi Muhammad saw. Bagaimana Nabi Nuh as, dididik oleh Allah agar berkata
“tidak” ketika teringat dan merasa kasihan kepada anak dan isterinya yang
derhaka. Menyusul kemudiannya Nabi Luth as yang diperintahkan meninggalkan
keluarga yang tercinta tanpa boleh menoleh lagi ke belakang.
Menyusul
lagi kemudiannya Nabi Ibrahim as yang pada mulanya rela berpisah dengan bapanya
yang menyembah berhala, dan selepas itu rela pula menyembelih anaknya Nabi
Ismail demi cintanya kepada Allah. Nabi Nuh, Luth, Ibrahim dan akhirnya Nabi
Muhammad s.a.w telah berkata “tidak” kepada cinta-cinta yang lain kerana cinta
mereka pada Allah. Lalu di manakah letaknya cinta kita?
Muhasabah
kembali cinta antara suami-isteri yang mendasari dan menghiasi rumah tangga
kita…. Apakah pernah cinta kita berkata, “tidak”? Ah, tanpa disedari kerap kali
kehendak isteri atau suami diturutkan sahaja walaupun jelas bertentangan dengan
kehendak Allah. Atau kekadang kita sudah bisu untuk menegur kesalahannya kerana
terlalu sayang. Sudah ketara, tetapi masih dipandang sebelah mata. Sudah
menonjol, tetapi kita pura-pura tidak nampak.
Kekadang
ada isteri yang sudah semakin “toleransi” dalam hukum penutupan aurat.
Malangnya, sisuami biarkankan sahaja tudungnya yang semakin singkat, warnanya
yang semakin garang, saiznya yang semakin sendat dan melekat… Ada masanya
tangannya sudah terdedah melebihi paras yang dibenarkan, anak tudungnya telah
terjulur dan helaian rambutnya sedikit berjuntaian… Itu pun masih didiamkan
oleh sisuami. Mengapa begitu? Mungkin kerana terlalu sayang…
Kekadang
solat nya pasangan kita sudah mula culas. Tidak menepati waktu dan terlalu
“ringkas” pula… Itu pun masih kita biarkan. Mungkin ketika si suami melangkah
ke surau atau ke masjid, si isteri masih leka dengan aktiviti rumah yang tidak
kunjung reda. Dan keutamaan mengerjakan menyegerakan solat tepat semakin hari
semakin dipinggirkan. Pernah ditegur, tetapi mungkin kerana keletihan si isteri
jadi sensitif dan merajuk. Tarik muka. Masam wajahnya. Maka suami jadi “jeran”
dan mengalah untuk tidak menegur lagi. Kerana apa? Kerana sayang…
Si
suami pula kekadang sudah semakin merosot pengamalan Islamnya. Kalau dulu rajin
menghadiri kuliah, melazimi solat berjemaah, bersedekah dan berdakwah tetapi
entah kenapa “:semangat” Islamnya merudum tiba-tiba, roh dakwahnya meluntur,
mula malas-malas, leka dengan program TV dan aktiviti-aktiviti yang tidak
menyuburkan iman dan Islamnya… si isteri melihat dari dekat.
Itu
perubahan yang membimbangkan, detik hati isteri. Ingin menegur, tapi malu. Ingin
menasihati, takut dibentak. Dari sehari ke sehari kemerosotan itu dibiarkan.
Akhirnya keinginan-keinginan itu menjadi dingin… biarlah dulu. Tunggulah lagi.
Ah, semuanya… demi cinta!
Seakan
telah dilupakan dahulu kita bernikah kerana Allah. Dihalalkan pergaulan kita
antara suami isteri atas kalimah Allah. Ingat kembali kalimah syahadah dan
istighfar yang diulang-ulang oleh Tok Khadi sebagai pembersihan hati dan taubat
sebelum tangan dijabat untuk aku janji menerima satu amanah. Nikah diterima,
ijab kabul dilafazkan dengan kehadiran wali dan saksi…dan bercintalah kita
kerana Allah.
Itulah
pangkal perkahwinan setiap pasangan muslim. Untuk mengekalkan cinta, relalah
berkata tidak kepada kemungkaran yang dilakukan oleh pasangan kita. Berani dan
tegalah berkata tidak apabila Allah dan hukum-Nya dipinggirkan oleh suami atau
isteri kita.
Sayidina
Abu Bakar pernah memerintahkan anaknya menceraikan isteri yang baru dikahwini
oleh anaknya bila didapati anaknya itu mula culas solat berjemaah di masjid
kerana leka melayani isteri barunya. Nabi Ibrahim pula pernah berkias agar
anaknya Ismail menukar palang pagar rumahnya (isyarat menceraikan isterinya)
apabila didapati isterinya itu tidak menghormati orang tua.
Jika
kita undur selangkah ke belakang dalam pengamalan syariat, anak-anak akan undur
sepuluh langkah ke belakang. Sedikit ibu-bapa tergelincir, terperosok anak ke
dalam lubang kemungkaran. Sebab itu sering berlaku, apabila ibu tidak lengkap
dalam menutup aurat anak-anak perempuannya akan lebih galak mendedahkan aurat.
Lambat sibapa dalam mengerjakan solat, anak-anak akan berani pula meninggalkan
solat. Sedikit ibu-bapa terpesona dengan dunia, anak-anak akan terleka dalam
mencintainya!
Betapa
ramai ibu-bapa yang hakikatnya “menghumban” anak mereka ke neraka kerana dibiarkan
melakukan kejahatan tanpa teguran. Ada yang terlalu cintakan anak, hingga
dibiarkan anak-anak tidak solat Subuh, konon katanya kasihan nanti anaknya
mengantuk kerana kurang tidur. Ada pula anak-anak yang sudah besar panjang
tetapi masih tidak dilatih berpuasa kerana tidak sampai hati anak-anak melihat
anak-anak kelaparan dan kehausan. Apabila anak-anak pulang lewat malam, ada
ibu-bapa yang begitu “sporting” berkata, “Biarlah… muda hanya sekali, biarkan
mereka bersuka-suka, tumpang masih muda!”
Susah
benarkah untuk melihat anak-anak, isteri atau suami bersusah-susah kerana
Allah? Padahal kesusahan yang sedikit dan sementara di dunia ini adalah suatu
yang lumrah demi mendapat kesenangan yang melimpah dan kekal abadi di akhirat
kelak?
Jangan
kita dibutakan oleh cinta nafsu kerana cinta nafsu itu bersifat melulu.
Cintailah sesuatu kerana Allah, insya-Allah, cinta itu akan sentiasa celik
untuk melihat kebenaran. Rela dan tegalah berkata tidak demi cinta. Cintalah
Allah dan selalu menjaga hukum-hakam-Nya. Bila cinta kita kerana yang maha Baqa
(kekal), maka itulah petanda cinta kita sesama manusia akan kekal.
Marah
biar kerana Allah. Justeru kemarahan kerana Allah itulah yang akan menyuburkan
rasa cinta kita. Bila hak Allah diabaikan, bila hukum-hakam-Nya dipinggirkan,
katakan tidak… cegahlah kemungkaran itu dengan kuasa dan dengan kata-kata.
Biarkan cinta mu berkata tidak! Insya-Allah cinta itu akan kekal sampai
bila-bila… :)
sumber: http://www.facebook.com/greenfox93
sumber: http://www.facebook.com/greenfox93
Comments