Aku Sungguh Rindu
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang
hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi
Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi
melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah?
Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya
melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah
sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara
Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata
seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan
sambil tersenyum.
Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang
belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan
mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta
mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang
keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?"
tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah
sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi,
"Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu
diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada
ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang
lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah
umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua
isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh
kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa
denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka,"
ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.
Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan......
Comments